Tuesday, July 2, 2013

Imam Muhammad Abu Zahrah (1898 -1974), Ulama Ensiklopedi Mesir



[Nama]

al-Imam al-Allamah al-Faqih Muhammad bin Ahmad bin Mustafa bin Ahmad ataupun dikenali sebagai Abu Zahrah dilahirkan pada 29 Mac 1898M di Mahallah al-Kubra, Mesir.

[Keluarga dan Suasana Membesar]

Beliau membesar dalam sebuah keluarga yang memelihara adab-adab agama dan nilai-nilai Islam serta mementingkan ilmu agama. Suasana tersebut memberi kesan terhadap pembentukan jiwa, ilmu, pemikiran dan peribadinya. Ketika berusia sembilan tahun, beliau telah menghafal al-Quran dari guru-gurunya seperti Syeikh Muhammad Jamal, Imam Masjid Dahaniah, Syeikh Muhammad Hika, Imam Masjid Hanafi dan Syeikh Mursi al-Misri, Imam Masjid Syeikh Abu Rabah.

[Perjalanan Ilmu Dan Pendidikan]

Imam Muhammad Abu Zahrah mengakui bahawa permulaan kehidupan ilmiahnya bermula dari pengajian dan penghafalan al-Quran. Dalam aspek pendidikan peringkat rendah, beliau melanjutkan pengajian di Sekolah Rendah al-Raqiyyah dan ilmu-ilmu moden seperti Matematik dan lain-lain di samping ilmu agama dan bahasa Arab.

Imam Abu Zahrah meneruskan pengajian di Kolej al-Ahmadi al-Azhari di Masjid Ahmadi, Tanta pada tahun 1913. Setelah 3 tahun di sana, pada tahun 1916, beliau memasuki Madrasah Kehakiman Syariah, Sekolah ini ditubuhkan pada tahun 1907 dan hanya mengambil pelajar yang cemerlang. Madrasah ini dibina bertujuan melatih dan melahirkan ahli feqah dan Qodhi yang semasa dan pratikal yang bersesuaian dengan realiti masyarakat bagi mengisi jawatan hakim syar’i di Mesir. Madrasah ini mempunyai sistem pendidikan yang lebih teratur dan pelengkap kepada al-Azhar.

Beliau belajar dengan tekun di madrasah tersebut selama 8 tahun, dari 1916 sehingga tahun 1924. Di sinilah Imam Abu Zahrah dididik terutama dari sudut pembentukan peribadi daripada guru-gurunya di situ seperti al-Allamah Abdul Wahab Khalaf dan juga kehidupan ilmiah dengan membuat penyelidikan dan penulisan yang banyak.Apabila tamat di madrasah tersebut, beliau memasuki Institut Latihan Kehakiman untuk menjadi peguam selama setahun Pada tahun 1927, beliau juga belajar di Dar Ulum selama enam bulan bagi membolehkan ia memasuki peperiksaan bagi mendapat Sijil Dar Ulum.

[Guru-Gurunya]

Antara guru-gurunya ialah:

Muhammad Atif Barakah (1872-1924), guru di Kolej Ahmadi, Thanta.
Muhammad Faraj Shanhuri (1891-1977)
Abdul Wahab Azam (1894-1959)
Ahmad Ibrahim Bik,
Muhammad Khudri al-Afifi,
Abdul Wahab Khalaf,
Abdul Jalil Isa,
Muhammad al-Banna,
Ali Khafif,
Husain Wali,
Ahmad Amin,
Abdul Aziz al-Khuli,
Mustafa Ana’i dan lain-lain.

[Kerjaya]

Muhammad Abu Zahrah pernah bekerja sebagai guru di Pusat Penyediaan Dar Ulum secara kontrak selama setahun (10 Oktober 1927-14 November 1928), kemudian beliau mengajar di sekolah menengah di Kaherah dan Suhaj selama dua tahun iaitu bermula dari tahun 1930 sehingga akhir tahun 1932.

Pada awal 1933, beliau bertugas di Kuliah Usuluddin, Universiti al-Azhar. Beliau mengajar subjek khitabah (pengucapan) dan perbandingan agama. Pada masa ini, beliau telah menerbitkan buku Khitabah, Tarikh al-Jidal (Sejarah Perdebatan), Diyanat al-Qadimah (Agama-Agama Kuno), Muhadarat fi Nasraniah (Isu-Isu Dalam Agama Nasraniah).

Beliau mengajar sebagai guru sepenuh masa di al-Azhar selama satu tahun dan lapan tahun sebagai guru pelawat apabila beliau berpindah ke Kuliah Undang-Undang, Universiti Kaherah. Beliau mengajar di Kuliah ini bermula pada 1 November 1934 di samping mengajar di al-Azhar. Sejak tahun 1942, beliau menumpukan sepenuhnya di Kuliah Undang-Undang dengan menjadi Ketua Jabatan Syariah sehinggalah persaraan beliau pada tahun 1958.

Beliau terus mengajar dan menjadi pembimbing di peringkat Ijazah Tinggi sehinggalah beliau meningggal dunia. Beliau juga pernah menjadi Timbalan Dekan bagi Kuliah Undang-Undang selama lima tahun sehingga beliau bersara pada tahun 1958.

Pada tahun 1962, beliau terpilih untuk menjadi ahli 'Majma' al-Buhuth al-Islamiyah', satu badan atau institut kajian-kajian Islam yang tersohor di Mesir dan negara-negara arab yang dibina menggantikan lembaga atau dewan Ulama-ulama besar (هيئة كبار العلماء) Mesir.

Di samping itu, beliau juga antara yang mengasaskan Ma'had Dirasat al-Islamiyah(pengajian-pengajian Islam) di Kaherah. Beliau biasanya memberikan ceramah dan pengajian berkenaan Syari'ah Islamiyah dengan ikhlas kerana Allah tanpa apa-apa bayaran.

Beliau digelar sebagai " al-Imam " yang menunjukkan kealimannya dalam ilmu. Namun menurut Abdul Halim Jundi, bahawa gelaran imam bukan sahaja menunjukkan kealiman dalam bidang ilmu atau gelaran yang diberikan oleh kerajaan tetapi pendirian dan keberanian dalam menyatakan kebenaran dalam isu-isu masyarakat.

al-Imam al-Akbar Abdul Halim Mahmud mantan Syeikh al-Azhar menyebutkan bahawa jika terdapat masalah dalam Lajnah Fatwa, maka kami akan merujuk kepada Syeikh Muhammad Abu Zahrah. Beliau mempunyai pendirian yang tegas terutama dalam isu pengharaman riba. Menurutnya, pengharaman riba bagi memelihara kebajikan umat Islam.

Imam Muhammad Abu Zahrah seorang yang prihatin dan pakar dalam ilmu al-Quran dan tafsir. Semasa zaman beliau ditegah menulis di akhbar dan majalah dan bertugas di Universiti, beliau mula menulis mengenai al-Quran dengan mengarang buku “Mu'jizat al-Kubra al-Quran”. Buku ini merupakan mukadimah dalam beliau mengarang tafsir al-Quran. Namun tafsir ini tidak sempat disempurnakan kerana beliau meninggal dunia terlebih dahulu. Sebahagian tafsir beliau ini telah diterbitkan Dar al-Fikr al-'Arabi dalam 10 jilid yang berjudul Zahrah al-Tafasir.

[Karya-Karyanya]

1- Khaatam an-Nabiyyin (3 jilid)
2- al-Mu'jizat al-Kubra- Al-Quran al-Karim
3- Tarikh al-Mazahib al-Islamiyah
4-العقوبه في الفقه الإسلامي.
5-الجريمة في الفقه الإسلامي.
6-الأحوال الشخصية.
7-أبو حنيفة - حياته وعصره - آراؤه الفقهية.
8-مالك - حياته وعصره - آراؤه الفقهية.
9- الشافعى - حياته وعصره - آراؤه الفقهية.
10-ابن حنبل - حياته وعصره - آراؤه الفقهية.
11-الإمام زيد - حياته وعصره - آراؤه الفقهية.
12-ابن تيمية - حياته وعصره - آراؤه الفقهية.
13-ابن حزم -حياته وعصره - آراؤه الفقهية.
14-الإمام الصادق - حياته وعصره - آراؤه الفقهية.
15-أحكام التركات والمواريث.
16-علم أصول الفقه.
17-محاضرات فى الوقف.
18-محاضرات فى عقد الزواج وآثاره.
19-الدعوة إلى الإسلام.
20-مقارنات الأديان.
21-محاضرات في النصرانية.
22-تنظيم الإسلام للمجتمع.
23-فى المجتمع الإسلامى.
24-الولاية على النفس.
25-الملكية و نظرية العقد.
26-الخطابة ( أصولها - تاريخها فى أزهى عصورها عند العرب).
27-تاريخ الجدل.
28-نتظيم الإسرة وتنظيم النسل.
29-شرح قانون الوصية.
30-الوحدة الإسلامية.
31-العلاقات الدولية فى الإسلام.
32-التكافل الإجتماعى فى الإسلام.
33-المجتمع الإنسانى فى ظل الإسلام.
34-المیراث عند الجعفریة
35-زهرة التفاسير dan lain-lain

Begitu juga maqalah ataupun artikel-artikel beliau yang sangat bermanfaat.

[Jihad Dan Pemikirannya]

Imam Abu Zahrah adalah seorang yang sangat tegas dan tinggi suaranya dalam menyeru untuk mengaplikasikan undang-undang Syari'at Islam di dalam kehidupan. Beliau juga menegaskan bahawa al-Quran menyuruh kita untuk mengamalkan 'Syuro', justeru, wajib untuk kita memilih pemimpin Islam dengan pemilihan yang adil dan bebas, maka tidaklah seorang pemimpin itu diangkat kecuali setelah dipilih dan diundi dengan adil, dan bahawasanya pemilihan para pemimpin yang adil dan soleh adalah sangat utama dalam menjaga syari'at dari diremehkan pemerintah, kerana setiap yang diremehkan pada undang-undang Islam adalah satu pengabaian terhadap asas-asas Islam.

Beliau juga berpendirian tegas dalam soal riba yang diamalkan masyarakat. Beliau mencanangkan sekeras-kerasnya akan tentangan dan penolakannya terhadap pengamalan sistem riba dengan hujjah-hujjah ilmiah dan kajian-kajian semasa tentang keburukannya serta menerangkan bahawa riba diharamkan Islam agar kebajikan masyarakat Islam dan ummah terjaga dari kerosakan dan kezaliman.

Beliau juga merupakan seorang yang berani untuk menegur pemimpin dan mempertahankan Islam. Pernah dikisahkan bahawa suatu ketika, beliau dijemput untuk menghadhiri satu muktamar di sebuah negara Arab yang dihadhiri juga para ulama besar seluruh dunia. Adalah pemerintah negara tesebut seorang yang berfahaman sosialis, lalau ia meminta para ulama yang hadhir untuk menyokong partinya dan kepentingan politiknya.

Setelah mendengar ucapan pemimpin tersebut, berubah raut wajah para ulama yang hadhir dan hadhirin diam seribu bahasa. Lalu dengan penuh berani dan 'izzah, al-Imam Abu Zahrah maju, meminta untuk bercakap di hadapan. Beliau berkata, mafhumnya:

"Kami para ulama Islam dan ahli-ahli fiqh datang ke muktamar ini untuk mengucapkan kata-kata Islam menurut pendapat kami (para ulama), bukan untuk menurut dan tunduk pada pandangan ahli-ahli politik! Dan adalah wajib untuk ahli-ahli politik untuk mendengar pendapat dan bimbingan kami sebagai ulama dan kalian harus tahu bahawa kami para ulama adalah pakar dan peka; kami tidak akan terpedaya dengan pujukan dan bodekan kerana kami telah belajar apa itu namanya sosialisme, maka kami melihat bahawa sistem Islam lebih tinggi dan mulia dari terbelenggu dengan sistem sosialisme ini. Dan golongan ulama ini akan memberi pendapat mereka sepertimana yang mereka pegang dan yakini, bukan sepertimana yang ahli politik inginkan!"

Lalu beliau bertanya sahabat-sahabatnya dikalangan ulama, "Adakah ada di antara kalian yang ingin menyangkal?".. Semuanya sepakat untuk bersetuju dengan beliau, lalu Imam Abu Zahrah berkata, " Alhamdulillah kerana Allah telah memberi kekuatan taufiq kepada ulama Islam untuk melakukan perkara yang diredhai Allah dan RasulNya."

Setelah peristiwa tersebut, muktamar tersebut yang seharusnya dijalankan mingguan selepas pembukaannya tidak diadakan lagi.

[Wafatnya]

Muhammad Abu Zahrah meninggal dunia pada petang hari Jumaat pada 12 April 1974 di Rumahnya di Zaitun, Kaherah ketika berumur 76 tahun. Beliau meninggal dunia ketika memegang pen untuk menulis tafsir al-Quran dalam surah al-Naml, ayat 19 yang bermaksud:

“ Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh". (al-Naml, ayat 19)

Beliau pergi dengan meninggalkan khazanah ilmiah dan hasil-hasil kajian yang luar biasa pentingnya bagi generasi selepasnya bahkan karya-karyanya dirujuk seluruh dunia dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa terutamanya kitab-kitabnya berkenaan imam-imam Mazhab Islam.

Radhiallahu ta'ala anhu wa'anhum wa nafa'anallahu bihi wa bi'ulumihi fiddarain ameen.

Rujukan:

1.Muqoddimah A'lam wa Ulama' Qudama' Wa Mu'asirun karya Imam Abu Zahrah, tulisan Dr. Adnan Zarzur m/s 13 cet. Dar Fath.

sumber (
)


EmoticonEmoticon